Thursday, August 13, 2009

:: Belasungkawa : Allahyarham Mohamad Asri Ibrahim::

Pergi Tak Kembali
Munsyid: Rabbani

Setiap insan pasti merasa
Saat perpisahan terakhir

Dunia yang fana akan ditinggalkan

Hanya amalan yang dibawa


Terdengar sayup surah dibaca
Sayunya alunan suara
Cemas di dada lemah tak bermaya

Terbuka hijab di depan mata


Selamat tinggal pada semua

Berpisah kita selamanya

Kita tak sama nasib di sana
Baikkah atau sebaliknya

Amalan dan taqwa jadi bekalan

Sejahtera bahagia pulang...ke sana


Sekujur badan berselimut putih

Rebah bersemadi sendiri

Mengharap kasih anak dan isteri

Apa mungkin pahala dikirim


Terbaring sempit seluas pusara

Soal bicara terus bermula

Sesal dan insaf tak berguna lagi

Hancurla
h jasad dimamah bumi

Berpisah sudah segalanya

Yang tinggal hanyalah kenangan

Diiringi doa dan air mata

Yang pergi takkan kembali lagi


Hari ni, pada jam 1.11 pm, kakak saya hantar mesej bunyinya begini "Asri Rabbani passed away this morning heart attack". Saya terkesima seketika. Innalillahi wa inna ilaihi raji'un... Semoga roh Allahyarham Asri ditempatkan bersama orang-orang beriman dan dikasihiNya. Amin...Pemergian Allahyarham Asri agak memberi kesan kepada saya sebab saya antara berjuta-juta orang yang mengkagumi vokal beliau tatkala beliau bernasyid, berzikir, membaca al-quran, melaungkan azan etc. Saya juga serta merta teringat nasyid yang saya letak liriknya di atas. Nasyid ni memang glemer sangat masa saya tingkatan 3. Saya pun sangat suka nasyid ni dan selalu mendengar berulang-ulang kali. Pernah sekali dulu ada majlis kat sekolah, diorang pasang lagu ni kuat-kuat, sampai meremang bulu roma saya (tak tau la kenapa...)

Hmm...lepas tu sampai saja di surau kat tempat kerja, saya mengkhabarkan berita kematian Allaryarham Asri Rabbani kepada kawan-kawan. Memang semua orang terkesima juga seperti saya. Mula-mula saya takut juga kalau saya tersalah info, saya cakap kat kawan-kawan, lepas ni check la kat internet kot-kot ada cerita pasal Allahyarham Asri. Tak lama lepas tu, ada seorang kawan lain masuk surau dan mengesahkan berita kematian Allahyarham Asri Rabbani. Dia tengok berita kat TV kat cafeteria. Maknanya info yang saya dapat tu betul la...

So, ini pula petikan dari malaysiakini tentang pemergian Allahyarham Asri.

Asri Rabbani 'pergi tak kembali'

Ketua kumpulan nasyid Rabbani, Mohamad Asri Ibrahim, 40, meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Pantai, Kuala Lumpur kira-kira jam 11 pagi tadi kerana sakit jantung.

Penyanyi utama kumpulan itu pengsan kira-kira 10.30 pagi setelah 20 minit menyertai program Syahadah musim kelima di Angkasapuri dan seterusnya dikejarkan ke hospital.

Menurut Mohd Asri Ubaidullah, seorang anggota Rabbani yang ditemui di hospital swasta itu, allahyarham mengalami muntah-muntah dan mengadu sakit sejak Subuh tadi.

Allahyarham kemudian mengambil susu, madu dan limau untuk mengurangkan kesakitan tersebut, tambahnya.

Sewaktu tiba di stesen RTM untuk program tersebut, Asri sudah dalam keadaan lemah tetapi berkeras ingin menjayakan rakaman program tersebut - yang akan disiarkan pada bulan Ramadhan tidak lama lagi.

"Pada kira-kira jam 10.30 beliau jatuh pengsan. Tapi ambulans tiba agak lewat, kira-kira 20 minit selepas itu. Apabila sampai ke hospital beliau sudah disahkan meninggal dunia," kata Mohd Asri.

Seorang lagi anggota Rabbani, Mohamad Afandi Shahbudin, berkata jenazah beliau akan dikebumikan di Bukit Lancong dekat Shah Alam petang ini.

Seorang saudara angkat allahyarham Shariman Wahab, berkata beliau antara individu terakhir yang dihubungi oleh allahyarham, yang mengadu berasa letih dan sedih dalam perbualan telefon mereka pagi ini.

Menurutnya lagi, allahyarham pernah tinggal bersama keluarganya di Taman Datuk Harun, Petaling Jaya selama kira-kira 15 tahun sebelum ini.

Ibu allahyarham, yang berkerusi roda, kelihatan masuk ke Hospital Pantai, jam 1 tengah hari tadi, diikuti ahli keluarga lain termasuk balu allahyarham Haliza Shahadan, 38.

Sebelumnya, turut menziarahi jenazahnya di situ, Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran, Datuk Ibrahim Yahya bersama pegawai-pegawai Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan serta rakan-rakan artis termasuk Amy Search, Yassin dan Nash.

Penyanyi lagu 'Pergi tak kembali' itu lahir pada 3 Ogos 1969 di Klang, Selangor dan menyertai Rabbani sejak ia ditubuhkan pada 1 Mac 1997 dengan dianggotai lapan lagi anggota.

Beliau sebelum itu bersama satu lagi kumpulan nasyid terkenal Nadamurni.

Selain Asri dan Mohd Asri, kumpulan nasyid itu turut disertai Azadan Abdul Aziz, Muhammad Luqman Abd Aziz, Muhammad Rithauddeen Yaakob, Mohamad Afandi Shahbudin, Ahmad Shafie, Nazrul Azhar Tamrin dan Zulkiflee Azman.

Lebih 12 tahun dalam industri ini, Rabbani menghasilkan 19 album, antaranya Arah: Dari Mana Ke Mana (1997), Pergi Tak Kembali (1999), Intifada (2000), Yalla Beena (2004) dan yang terbaru Nostalgia Nadamurni.

Allahyarham dalam coretan terakhir di blognya (asrirabbani.blogspot.com) mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan yang menjayakan konsert terakhirnya di Stadium Malawati, Shah Alam, 28 Februari lalu.

Pencapaian kumpulan itu, yang bernadikan Asri, termasuklah beberapa anugerah utama industri muzik - album nasyid terbaik selama tiga tahun dan album terbaik (2001).


Takziah buat keluarga Allahyarham & marilah kita hadiahkan Al-Fatihah buat Allahyarham Mohamad Asri Ibrahim.

Al-Fatihah.




No comments: