Tuesday, August 5, 2014

Kawan VS Isteri

Seorang yang bernama perempuan, sebelum kahwin, dia boleh keluar bersosial (secara positif) dengan ibubapa, adik-beradik, kawan-kawan, sepupu sepapat dengan keizinan ibu bapanya. Biasanya ibu bapa tak melarang asalkan si anak dara tau jaga diri dan keselamatannya. 
 
Bila perempuan tu dah berkahwin, hak untuk dia keluar bebas sudah semakin terhad. Semuanya mesti berizin suami. Kalau tak berizin, setiap langkah isteri adalah berdosa. Biasanya nak dapat keizinan suami lagi susah daripada nak dapat keizinan ibu bapa. Sesuatu yang harus diingat, hukum Tuhan bukan untuk membataskan keinginan wanita tetapi adalah untuk menjaga keperibadian dan maruah wanita itu sendiri.
 
Dalam perspektif orang zaman sekarang, rutin harian seorang isteri adalah keluar bekerja. Habis waktu kerja biasanya masanya di rumah bersama suami & anak-anak. Kalau nak keluar shopping-shopping pun sekadar beli barang dapur dan keperluan keluarga. Masa untuk jumpa kawan-kawan? Hanya di pejabat. Atau pun kita boleh ajak kawan-kawan datang rumah juga dengan izin suami. Kalau nak ajak kawan-kawan jalan-jalan ke tengok wayang ke, minum-minum ke..memang takkan ada lagi-lagi kalau sudah beranak kecil.
 
Berbeza dengan lelaki/suami, bila dah berkahwin, pilihan untuk dia bersosial semakin banyak. Dia ada pilihan nak bersosial dengan isteri, anak-anak, mak ayah, adik-beradik, sepupu sepapat. Isteri tiada hak untuk melarang suami keluar berjumpa sesiapa yang disukainya. Pukul berapa nak balik pun tiada siapa yang boleh larang.
 
Tetapi, sedar tak kita, walaupun Allah swt jadikan kita berbeza jantina, tetapi kita mempunyai sekeping hati yang sama yang boleh rasa sedih, gembira, marah, geram, ceria... Seorang isteri di rumah berseorangan sedang 'berperang' dengan anak-anak kecil yang banyak ragam, perlu masa untuk uruskan rumah, uruskan diri, beribadat, ditinggalkan suami yang enak-enak 'ngeteh' dengan kawan-kawan sampai jam 2 pagi. Sudah tentu isteri menjeruk perasaan. Penat, marah, geram, sedih. Bila isteri mengamuk dikatanya isteri berdosa sebab melawan suami. Boleh bayangkan kalau situasinya terbalik? Suami di rumah berseorangan sedang 'berperang' dengan anak-anak kecil yang banyak ragam, perlu masa untuk uruskan rumah, uruskan diri, beribadat, ditinggalkan isteri yang enak-enak 'ngeteh' dengan kawan-kawan sampai jam 2 pagi. Mesti suami pun penat, marah, geram, sedih. Suami berdosa? Tak...isteri yang berdosa sebab tinggalkan suami dan keluarga tanpa izin suami. Jadi, walaupun situasinya berbeza, tetapi end-up jatuhnya dosa itu di pihak isteri jugak. Saya bukan nak kata saya ni Tuhan nak menjatuhkan dosa kepada siapa siapa, tetapi sebagai manusia, kita nampak dosanya di mana... 
 
Pada saya, hukum yang Allah swt tetapkan itu cukup indah. Tiada pertikaian di situ. Tetapi manusia sendiri yang memanipulasi hukum Allah dengan cara yang tidak tepat. Kalau situasi isteri dibiarkan tunggang langgang keseorangan bersama anak-anak di rumah dan suami berseronok dengan kawan-kawan dianggap normal, saya rasa masyarakat kita dah dididik dengan fahaman songsang yang perlu dibetulkan segera. Tanggungjawab menjaga keluarga adalah di tangan suami. Suami harus ada di rumah untuk memastikan keselamatan isteri dan anak-anak tambah pulak dalam situasi sekarang yang jenayah merata-rata. Bukan tak boleh keluar jumpa kawan-kawan langsung tetapi ada had masanya. Tengok jam pukul 10 malam apa salahnya minta diri untuk pulang ke rumah. Pastikan anak-anak masuk tidur awal, ajar anak-anak baca surah-surah pendek dan doa sebelum tidur, bantu isteri untuk siapkan keperluan bekerja/sekolah anak-anak keesokan harinya.. Bukan meletakkan tanggungjawab itu 100% di bahu isteri. Berapa ramai suami yang peluk anak untuk tidurkan mereka? Payah nak jumpa...
 
Yang jadi kawan-kawan pun, janganlah disindir kawan yang balik awal tu "takut bini". Kalau kamu seorang kawan yang baik, kamu sendiri yang akan suruh kawan kamu balik untuk berbakti pada keluarganya. Bukan menahan langkah kawan kamu tu "Eh, awal lagi ni...baru pukul 10. Takkan takut bini kot!" Satu lagi, tengokla masa sama.. Kalau tengok jam dah 11 malam, bawak-bawakla bertenang. InsyaAllah esok siang masih ada kalau nak jumpa kawan tu pun.. Ingat sikit, kawan tu ada keluarga untuk dijaga. Entah-entah isteri dia tengah sarat mengandung ke, anak-anak tengah tak sihat ke... Ni tak, menggigil nak ajak kawan tu keluar minum-minum dengan alasan sembang bisnes, lama tak jumpa, nak ajak tengok bola.. tu belum lagi alasan "bini aku kerja shif malam la, aku bosan kat umah sorang-sorang". Abis tu, kamu ingat kawan kamu tu bini dia kerja satu shif dengan bini kamu? Kalau macam tu takpela. Korang nak bergasak kat kedai mamak sampai subuh pun takde sape larang.
 
Jadi para suami, antara kawan dan isteri/anak-anak, siapa yang kamu pilih?
 
Buatla pilihan yang bijak ya. Jangan kerana kawan, kebahagiaan keluarga kamu tergadai. Ingatlah siapa yang berdiri di sebelah kamu bila kamu susah nanti. Isteri dan anak-anak ke kawan-kawan 'ngeteh' kamu tu?
 
 
 
 
 
 
 

1 comment:

Unknown said...

saya suka penulisan ni