Bismillahirrahmanirrahim...
Assalamualaikum. Jawab sat bagi dapat pahala :)
Hari ni nak sembang-sembang topik keibubapaan. Topik klise. Macam mana nak didik anak-anak solat. Dalam bab mendidik anak untuk solat, saya dan anda mungkin jatuh dalam salah satu kategori ni:
1) yang tak tahu langsung cara didik anak solat (sebab diri sendiri jenis tak solat) - Semoga kita terhindar dari golongan ini
2) tahu cara tapi tak apply dengan tepat
3) tahu cara dan dapat apply kepada anak-anak dengan jayanya
Saya rasa diri saya sendiri jatuh dalam kategori nombor 2. Baca dah bermacam-macam cara. Apply pun kadang-kadang berjaya kadang-kadang tidak.
Dalam Islam sendiri, apabila anak dah jejak umur 7 tahun, kita wajib suruh dia solat. Anak nak ikut ke tak masih ada toleransi. Bila anak umur 10 tahun, kalau dia enggan solat, maka kita boleh merotan anak (di kaki dan mestilah tidak menyakitkan - sekadar memberi peringatan untuk anak-anak).
Dalam masyarakat Melayu pula, kita biasa diajar dengan pepatah "melentur buluh biar dari rebungnya". Jadi anak seawal umur 1 hingga 6 tahun adalah peringkat rebung yang mesti kita dedahkan dengan nilai-nilai hidup yang baik, dan sudah tentu perlu didedahkan dengan kepentingan bersolat.
Anak sulung saya sekarang umurnya 4 tahun. Rebung yang separa matang yang lagi 4 5 tahun dah boleh jadi buluh. Cerita pasal buluh teringat pulak lemang raya huhu... ok off topic pulak. Kembali ke cerita asal.
Masa Ajmal umur 2 - 3 tahun, saya guna pendekatan "jom solat". Caranya mudah. Setiap kali kita nak solat, kita ajakla anak solat sama. Kalau dia nak ikut alhamdulillah. kalau dia taknak ikut pun saya tak marah. Tapi kadang-kadang bila dah banyak kali ajak dan dia tak mau ikut kita naik risau jugak la kan. Masa tu terdetik dalam hati, anak aku ni tak suka solat ke? Tapi cepat-cepat saya buang perasaan tu sebab kata-kata ibu kan satu doa. Nak sedapkan hati, hmm.. dia kan kecik lagi. Takpelah kalau taknak ikut pun...
Sampai satu masa, saya teringat pesan alim ulama akan satu doa yang sepatutnya kita sebagai ibubapa jadikan doa wajib setiap kali selepas solat iaitu:
"Rabbij 'alni muqima solati wa min dzurriyyati"
Maksudnya: Ya Tuhanku, jadikanlah aku dan zuriat keturunanku orang-orang yang mendirikan solat.
Sejak dari itu, saya sentiasa masukkan doa ini ke dalam doa selepas solat. Alhamdulillah, tidak lama selepas mengamalkan doa itu, memang ada perubahan yang ketara. Ajmal selalu masuk ke bilik air untuk berwudhuk dan solat tanpa disuruh. Solat tanpa disuruh itu yang kita nak terapkan pada anak-anak sebab sifat manusia ni memang tak suka ayat perintah. Jadi kita nak didik anak bersolat dengan kerelaan hatinya. Selalu Ajmal solat dua rakaat je hehe.. tapi okla tu untuk anak yang berumur 4 tahun.
Dan satu lagi, pada masa anak-anak saya datang ke tikar sejadah, walaupun hanya untuk bersujud sekali sahaja, lepas tu diorang sambung main, saya akan baca doa yang sama dengan satu perasaan rendah diri dan mengharap agar Allah swt menjadikan anak saya orang yang istiqamah mendirikan solat. Saya rasa itu jauh lebih baik daripada masa anak tengah solat tu kita cepat-cepat lari ambik kamera dan snap gambar. Pastu share kat fb atau blog. Saya pernah buat okey. huhu.. tobat tak mau buat dah. Bukan apa, takut perasaan riya' menyelinap dalam diri bila orang puji anak kita baik, kecik-kecik dah pandai solat.
Jadi apa yang saya nak sampaikan di sini, suruhan solat kepada anak adalah melalui DOA dahulu. Mulakan doa ini seawal kita bujang lagi. Tak payah tunggu bila dah mengandung ke, anak dah lahir ke.. Sebab semakin banyak kita berdoa semakin tinggi potensi doa kita termakbul. InsyaALLAH :)
Bila dah berdoa, jangan tak buat usaha yang lain pulak. Antaranya ajak anak solat berjemaah di rumah, bawak anak ke masjid, buat carta solat yang bagi score bila dia solat, cerita kelebihan orang bersolat dan apa-apa sahaja cara yang memotivasikan, silalah lakukan.
Mendidik anak-anak untuk solat diakui bukan senang. Saya dah tengok macam-macam 'hasil' didikan ibubapa. Ada yang ibubapa rajin solat tapi anak tak solat pun. Jadi di mana silapnya? Pasti ada yang kurang di mana-mana. Wallua'lam.. Selagi terdaya, kita usahalah yang terbaik untuk memastikan anak-anak faham keperluan bersolat dan mendirikan bersolat dengan ikhlas. Semoga kita dan zuriat keturunan kita tergolong dalam golongan orang-orang yang istiqamah mendirikan solat. Amin...